"Analisis Politik Revolusi di Dunia Arab"

    Alhamdulillah, sebuah cetusan kebangkitan telah dimulakan di bumi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) apabila anak-anak muda mula bertindak untuk mengajak masyarakat kampus berfikir dengan lebih jauh tentang masalah yang umat Islam alami saat ini, iaitu Revolusi di Tunisia, Mesir, Libya, dan di tanah Arab yang lain!  Inilah program pertama di UIA yang menjelaskan mengenai isu Revolusi Arab!

    Pada hari Selasa, 8 Mac 2011, sebuah diskusi ilmiah telah diadakan di Mini Auditorium UIA bermula pada jam 9 malam. Seramai 300 mahasiswa dari Arab, Sudan, Albania, Bosnia, Indonesia dan juga Malaysia memenuhi dewan untuk mengetahui apakah penyelesaian ke atas revolusi yang berlaku saat ini. Para hadirin yang datang seawal jam 8.45 malam telah diajak untuk menonton sebuah video bertajuk "Sampai Bila?" yang mengisahkan tragedi yang berlaku kepada umat Islam di seluruh dunia setelah kehancuran kekuatan Umat Islam iaitu Khilafah.


    Program tersebut telah diisi oleh Ustaz Taifunisyam yang merupakan seorang pensyarah dan juga penganalisis politik. Beliau juga pernah memberi komentar politik di rancangan Astro Awani. Ustaz Taifunisyam telah memulakan pengisian beliau dengan menceritakan tentang apakah sebenarnya "trigger" yang telah mencetus revolusi di tanah Arab pada hari ini iaitu peristiwa pembakaran diri oleh Muhammad Bouazizi. Beliau meneruskan dengan menceritakan sejarah Tunisia, Mesir, dan Libya yang pada asalnya merupakan bahagian daripada Daulah Khilafah Utsmaniyah yang kemudiannya dipecah-pecahkan kesatuannya oleh British, Perancis, dan Libya. Beliau juga menceritakan mengenai bagaimana Mustafa Kamal La'natullah 'alaih menjadi hero rakyat Turki dan seterusnya menjadi agen British yang menghancurkan Daulah Khilafah pada tanggal 3 Mac 1924. 

    Beliau menyatakan bahawa permasalahan yang terjadi di Tunisia, Mesir, dan Libya adalah persoalan 'patung boneka' dan 'tuan'nya. Beliau juga melontarkan persoalan tentang apakah tentera Mesir menyebelahi rakyat atau Hosni Mubarak? Sekiranya benarlah tentera Mesir menyebelahi Mubarak, mengapakah Mubarak tidak diheret oleh tentera ke muka pengadilan?


    Setelah itu majlis memberi ruang untuk hadirin berehat dengan menayangkan video temuramah diantara jurubicara Hizbut Tahrir Britain, Taji Mustafa dan Press TV mengenai analisis politik revolusi Libya. Taji Mustafa menjelaskan bahawa keinginan paling mendalam rakyat Libya adalah agar Islam kembali ditegakkan, mereka tidak menginginkan demokrasi sepertimana yang didengungkan oleh media massa barat. Mereka tidak menginginkan kebebasan untuk membuka kain tudung kemuliaan muslimah, mereka juga tidak menginginkan kerosakan demokrasi. Taji Mustafa juga menyatakan bahawa barat harus bersedia untuk menghadapi sebuah Negara Khilafah Islam yang akan berdiri tidak lama lagi yang akan membebaskan umat Islam dari penderitaan.

    Ustaz Taifunisyam kemudiannya meneruskan majlis dengan menerangkan bahawa perubahan seperti apakah yang seharusnya dilakukan? Apakah melalui Revolusi atau Reformasi? Apakah sekadar menampal lubang-lubang kelemahan sistem demokrasi yang akhirnya akan menimbulkan masalah yang lebih besar lagi? Atau mengubah sistem dan mencabut dari punca akarnya? 


    Beliau juga menegaskan bahawa tidak akan ada perubahan yang hakiki sekiranya pemimpin Mesir digantikan dengan agen lain sementara sistemnya tetap sistem demokrasi yang sekular. Beliau kemudiannya membuka pemikiran hadirin dengan menunjukkan perpecahan dunia umat Islam ini wajib disatukan dibawah naungan Khilafah yang akan menghapuskan segala sempadan-sempadan yang dicipta penjajah. Beliau juga menunjukkan kekuatan umat Islam yang tidak terhingga sekiranya ia bersatu. Ini dapat dilihat dari statistik minyak dan uranium yang didominasi oleh Umat Islam, begitu juga laluan strategik Terusan Suez, Selat Bosphorus, dan Laluan Sutera yang dikuasai Umat Islam. InsyaALLAH, Khilafah pasti akan menjadi sebuah kuasa besar yang menggugat Amerika dan sekutunya.


    Majlis diteruskan dengan sesi soal jawab dan diakhiri pada jam 10.50 malam.










    0 Responses

Blog Widget by LinkWithin