Lagi-lagi Pendidikan Percuma!

    Pendidikan percuma adalah suatu perkara yang tidak relevan?

    Pendidikan percuma bukanlah satu agenda atau perkara yang baru diada-adakan, malahan dalam konteks sistem kapitalisme, sebahagian negara barat yang mengisytiharkan mereka sebagai ‘negara kebajikan’ (welfare state) telah pun mengaplikasikan sistem pendidikan, rawatan kesihatan dan perumahan secara percuma. Nasyrah Jundu asy-Syabab kali ini tidak akan membincangkan apa itu negara kebajikan dan konsepnya yang bertentangan dengan Islam, namun hanya ingin mengupas sedikit realiti tentang sistem pendidikan percuma dan menerangkan kewajipan penyediaan pendidikan percuma oleh negara dalam Islam.

    Mengapa pendidikan wajib percuma?

    Pendidikan adalah percuma kerana disandarkan pada beberapa dalil yakni;

    Rasulullah SAW telah mengarahkan tawanan Perang Badar untuk mengajar membaca dan menulis sepuluh anak kaum Muslimin sebagai syarat penebusan mereka. Dengan tindakan ini, yakni membebaskan para tawanan dengan cara menyuruh mereka mengajar anak-anak kaum Muslimin, bererti Rasulullah telah menjadikan biaya pendidikan setara dengan barang tebusan. Maksudnya, Rasulullah (seperti) telah memberi upah kepada para pengajar itu dengan harta benda yang seharusnya menjadi milik Baitul Mal. Rasulullah juga bersabda,

    “Seorang imam (pemimpin) itu adalah penggembala (pemelihara) dan dia bertanggungjawab di atas pemeliharaannya...” [HR Ahmad, Syaikhan, Tirmidzi, Abu Daud dari Ibnu Umar].

    Hadis ini dengan jelas meletakkan tanggungjawab pemeliharaan atau penjagaan ke atas bahu para pemimpin. Justeru, di dalam bidang pendidikan, memberi pendidikan dan menyediakan segala kemudahan yang berkaitan dengannya adalah wajib ke atas setiap pemimpin dan semuanya mesti disediakan secara percuma kepada rakyat.

    Selain hadis-hadis di atas, terdapat kesepakatan (Ijma’) sahabat tentang pemberian gaji kepada para guru yang dananya diambil dari Baitul Mal, dan anak-anak kaum Muslimin tidak dikenakan apa-apa bayaran untuk belajar. Wadhiyah bin Atha meriwayatkan: “Di Madinah terdapat tiga orang guru yang mengajar anak-anak. Khalifah Umar memberikan nafkah kepada tiap-tiap mereka lima belas dinar setiap bulan.” (satu dinar = 4.25 gram emas). Mungkin ada yang menyatakan hal ini hanyalah ijtihad saidina umar sahaja, bukan terpakai sebagai hukum syarak yang mesti dilakukan oleh setiap pemimpin kaum muslimin. Namun hal ini nyata bercanggah dengan fakta. Yang pertama ialah perbuatan saidina umar ini jelas menjadi ijma' di kalangan para sahabat kerana saidina umar merupakan khalifah dan sangatlah mustahil jika apa-apa perkara besar sebegini yang dilakukan oleh khalifah tidak sampai kepada pengetahuan para sahabat yang lain. Kedua, khalifah umar melaksanakan perbuatan tersebut dalam konteks beliau sebagai amirul mukminin. Dan ketiga ialah beliau menggunakan wang baitul mal, bukan wang beliau sendiri.

    Tidak bersyukur

    Ada sesetengah pihak seringkali memainkan isu ‘tidak bersyukur’ sekiranya para pejuang agama Allah menuntut supaya kerajaan melaksanakan hukum syarak (salah satunya ialah pendidikan percuma). Mereka ialah orang-orang yang telah terkeliru dengan agama sendiri dan tidak memahami definisi bersyukur mengikut hukum syarak, malahan secara tidak langsung cuba memesongkan umat Islam dengan menggalakkan umat Islam turut sama-sama berdosa dengan tidak menjalankan kegiatan memuhasabah para penguasa. Allah memerintahkan sekurang-kurangnya wujud satu kelompok daripada kalangan umat Islam yang menjalankan amar ma’ruf nahi munkar termasuk dalam memuhasabah para penguasa. Hal ini didasarkan kepada dalil daripada surah ali Imran;

    “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka bersifat yang demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

    Sedangkan Rasulullah SAW telah memberi peringatan yang keras dalam sebuah hadith;

    “Barangsiapa melihat penguasa yang zalim, melanggar janji Allah, menghalalkan yang Allah haramkan, berperilaku dosa dan melakukan permusuhan terhadap hamba-hamba Allah, lalu (yang menyaksikan) itu tidak melakukan perubahan, baik dengan ucapan mahupun perbuatan, maka Allah berhak memasukkannya ke dalam neraka”

    Sabda Rasulullah SAW yang lain;

    “Nanti akan muncul di antara kalian berbagai tingkah laku penguasa. (tindakan mereka) ada yang kalian anggap baik dan ada yang kalian pandang salah. Siapa saja yang menolak tindakan salah mereka (minimal dalam hati) maka dia bebas (dari dosa). Siapa saja yang ingkar, dia juga selamat (dari dosa). Tetapi siapa saja yang di antara kalian yang merasa rela, bahkan mengikuti (perbuatan-perbuatan yang salah itu), maka dia telah berdosa..”

    Penguasa yang zalim ialah penguasa yang tidak menjalankan keadilan yakni hukum Allah. Apakah dengan menyahut seruan Allah dan RasulNya ini adalah ciri-ciri orang yang tidak bersyukur? Adakah mendiamkan diri daripada kemaksiatan dan kezaliman pemerintah itu dikatakan bersyukur? Adakah mereka memahami definisi bersyukur itu daripada kaca mata Barrack Obama, Bush, Tony Blair, Housni Mubarak, Islam Karimov dan sekutu-sekutu mereka yang lain? Sungguh, sesiapa sahaja yang mendiamkan kemaksiatan pemerintah dan menyuruh orang lain untuk diam bersama-sama mereka adalah orang yang zalim.

    “..dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [QS 5: 45]

    Sekilas bukti pelaksanaan hukum syarak dalam pendidikan zaman kekhilafahan

    Di masa kejayaan Islam, sejak abad ke-4H, telah dibangun banyak sekolah Islam. Sebelum wujudnya sekolah di dalam bentuk formal, pendidikan ketika itu biasanya dilakukan di masjid-masjid, majlis-majlis ta’lim dan beberapa tempat pendidikan yang tidak formal lainnya. Muhammad Athiyah al-Abrasi, di dalam buku Dasar- Dasar Pendidikan Islam memaparkan usaha-usaha para khalifah untuk membangun sekolah-sekolah tersebut. Dalam perkembangannya, setiap Khalifah berlumba-lumba membina sekolah tinggi Islam dan berusaha memperlengkapkannya dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan. Setiap sekolah tinggi dilengkapi dengan auditorium, dewan mesyuarat, asrama mahasiswa, perumahan pensyarah dan ulama. Selain itu, sekolah tinggi tersebut juga dilengkapi dengan bilik mandi, dapur dan dewan makan, malah terdapat juga taman rekreasi. 

    Di antara sekolah-sekolah tinggi yang penting dan terkenal ialah Madrasah Nizhamiyah dan Madrasah al- Mustanshiriyah di Baghdad, Madrasah al-Nuriyah di Damsyik serta Madrasah an-Nashiyah di Kaherah. Di antara madrasah-madrasah ini, yang terbaik ialah Madrasah Nizhamiyah yang mana ia dijadikan asas ukuran bagi madrasah di daerah lain di Iraq, Khurasan (Iran) dan tempat-tempat lain. Madrasah al- Mustanshiriyah di Baghdad didirikan oleh Khalifah al- Mustanshir pada abad ke-6H. Ia memiliki sebuah auditorium dan perpustakaan yang dipenuhi pelbagai jenis kitab yang cukup untuk keperluan proses pembelajaran. Selain itu, madrasah ini juga dilengkapi dengan kamar mandi dan klinik yang doktornya sentiasa tersedia. Madrasah lain yang juga cukup terkenal adalah Madrasah Darul Hikmah di Kaherah yang didirikan oleh Khalifah al-Hakim bi-amrillah pada tahun 395H. Madrasah ini adalah sebuah institut pendidikan yang dilengkapi dengan perpustakaan yang dipenuhi dengan ruang ulangkaji dan pelbagai kemudahan pendidikan lainnya. Perpustakaannya dibuka untuk orang-ramai. Semua orang juga dibenarkan mendengar kuliah, ceramah ilmiah, simposium, aktiviti kesusasteraan dan pengajaran agama. Di Madrasah al-Mustanshiriyah yang didirikan oleh Khalifah al-Mustanshir di kota Baghdad, setiap mahasiswa menerima biasiswa berupa wang emas dari negara. Kehidupan seharian mereka juga ditanggung. Makanan berupa roti dan daging disediakan tanpa bayaran sedikit pun. Kemudahan madrasah tersedia lengkap seperti perpustakaan yang dipenuhi dengan buku-buku, klinik dan kamar mandi. 

    begitulah Islam satu ketika dahulu, di mana para pemimpin mereka dari satu generasi ke satu generasi tidak pernah meninggalkan hukum-hukum Allah sehingga umat ini menguasai 2/3 dunia. Namun kerana runtuhnya institusi pelindung dan penerap hukum-hukum Allah yakni sang khilafah, maka hari ini umat Islam hidup dalam kegelapan walaupun di sisi mereka terdapat cahaya.



    0 Responses

Blog Widget by LinkWithin