PTPTN Menyengsarakan Mahasiswa

    Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mula beroperasi pada 1 November 1997. Pada asalnya, pelajar yang telah menamatkan pengajian harus membayar balik kesemua wang yang telah dipinjamkan termasuk 4% daripada jumlah yang dipinjamkan sebagai ‘kos pentadbiran’. Pada 1 Januari 2004 kadar ‘kos pentadbiran’ itu telah diturunkan kepada 3% setahun. Terbaru, PTPTN telah memperkenalkan pilihan baru kepada para peminjam, iaitu skim ujrah. Di dalam skim pilihan ini, kadar 3% diturunkan kepada 1%. Maka, sekiranya pelajar membuat pinjaman sebanyak RM24000, maka kadar ujrah adalah 1% setahun di dalam masa 5 tahun, dan ia harus membayar balik sebanyak:
    RM24000 x 1% x 5 (tahun) = RM1200.
    Jika dicampurkan dengan jumlah asal pinjaman, maka jumlah yang perlu dibayar balik oleh peminjam adalah = RM24000 + RM 1200 = RM25,200.
    Kaedah bayaran ujrah ini pula kononnya adalah berdasarkan prinsip Syariah Islam. Jawatankuasa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 28 Julai 2008 telah meluluskan kaedah pilihan tersebut.
    PTPTN MENINDAS?
    Kos pentadbiran yang dikenakan jelas tidak  mematuhi syariat Islam. Samada ianya 4%, 3% atau 1%, ia tetap menindas menurut syara’. Persoalannya, Jika proses pinjaman tersebut memerlukan kos pentadbiran, mengapa harus dikenakan di dalam bentuk peratusan? Adakah kos pentadbiran berbeza untuk jumlah pinjaman yang berbeza? Apakah yang menyebabkan mereka berbeza? Walhal, jumlah borang yang digunakan dan tenaga kakitangan yang menguruskan proses pinjaman adalah sama tanpa mengira jumlah wang yang dipinjamkan. Lebih pelik lagi adalah kos pentadbiran menguruskan itu dikenakan pada setiap tahun selagi terdapat baki pinjaman. Lalu, bagaimana sekiranya pelajar gagal membayar setiap tahun? Sudah tentu terdapat pertambahan kepada jumlah sepatutnya dibayar. Contohnya:  jika pinjaman asal bernilai RM 24000, dengan dicampur dengan kos pentadbiran (3 % x 5 tahun) akan bernilai RM 24000 + RM 3600 = RM27600. Pertambahan RM3600, tidakkah itu menambah beban pelajar kerana di samping terpaksa menanggung hutang sebanyak RM24000, mereka juga terpaksa membayar ‘bunga’ atau riba sebanyak RM3600! Apatah lagi jika 4% dikenakan.
    RIBA BERTOPENGKAN UJRAH
    Hanya setelah mendapat kritikan hebat daripada umat Islam, barulah PTPTN memperkenalkan skim pilihan baru, iaitu pembayaran balik melalui kaedah ujrah. Ujrah adalah dikatakan berbeza kerana hanya 1% dikenakan kepada baki pinjaman dan kemudian daripada jumlah itu, maka ia akan dibahagi dengan bilangan bulan yang tinggal dan peminjam harus membayarnya setiap bulan melalui pemotongan gaji, jadi tidak timbul isu gagal membayar tepat masa.
    Ujrah adalah istilah arab yang membawa maksud “upah”. Ianya diberikan kepada seseorang pekerja yang telah menyelesaikan pekerjaannya yang sebelumnya telah melakukan ‘aqad ijarah’ dengan majikannya. Ujrah atau upah juga boleh diberikan kepada pihak yang telah memberikan sesuatu perkhidmatan contohnya bayaran untuk teksi, pemandu pelancong, dsb. Ujrah biasanya merujuk kepada upah yang diberikan setelah sesuatu pekerjaan atau perkhidmatan yang diberikan. Jadi di dalam kes ini, PTPN dianggap pihak yang telah memberikan perkhidmatan dan mereka mendakwa berhak mendapatkan bayaran. Ini sebenarnya tidak pernah berlaku di dalam amalan para sahabat dan ahlus salaf bahkan bertentangan dengan syariah. Ini adalah kerana memberikan pinjaman itu tidak dianggap suatu perkhidmatan yang justeru tidak berhak mendapatkan bayaran.
    Konsep ujrah yang diperkenalkan oleh PTPTN itu hanyalah helah untuk membenarkan mengambil lebihan bayaran daripada pinjaman yang diberikan. Di dalam sistem kapitalis, ‘pinjaman’ merupakan satu busines/perniagaan. Inilah pandangan hidup kapitalis yang jelas tentang permasalahan ini. Namun bila ada pihak cuba untuk menghalalkan perniagaan ini dengan nama Islam, mereka terpaksa mereka-reka dan mencipta helah untuk mengambil keuntungan (atau ‘berniaga’ dengan hutang). Di sinilah mereka terkial-kial mencipta perkara baru dan fatwa baru supaya sistem kapitalis tetap berjalan dengan disaluti oleh fatwa dari Islam.
    Sedangkan Islam mengharamkan helah, berasaskan dalil,
    Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya sebahagian dari Umatku menghalalkan arak dengan cara menamakannya dengan namanya tersendiri”. [HR Ahmad]
    Penjenamaan Caj Perkhidmatan, ujrah dan lain-lain nama adalah salah satu cara untuk menjenamakan semula Riba yang diharamkan oleh Syarak.
    Haramnya Mengambil Lebihan Bayaran Dari Hutang
    Islam melarang pembayaran balik hutang yang melebihi kuantiti asalnya, iaitu sekiranya kita berhutang dengan RM10,000 maka kita wajib membayarnya dengan RM10,000. Haram berlaku penambahan walau 1 sen pun kerana ianya adalah riba Nasi’ah. Keharaman ini dapat dilihat dari hadis,
    Nabi Salallahu alaihi wa Sallam beliau bersabda:
     “Jika seseorang memberi pinjaman, maka janganlah dia mengambil hadiah." [HR Bukhari].
    “Setiap pinjaman yang menarik manfaat adalah salah satu bentuk riba.” [HR Imam Baihaqi]
    Keharaman riba adalah ma’lum min ad-deen bi adh-dharurah (perkara yang tidak boleh uzur untuk tidak diketahui hukumnya di dalam agama). Al-Quran dan Sunnah dengan begitu sarih (jelas) menerangkan keharaman riba dalam pelbagai bentuknya, baik sedikit mahupun banyak jumlahnya. Allah SWT berfirman,
    “Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kerasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), ‘Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan), dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya” [TMQ al-Baqarah (2):275].
    FirmanNya lagi,
    “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Jika kamu tidak mengerjakan (tidak meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu. Kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya” [TMQ al-Baqarah (2):279].
    Ibn Abbas juga menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda,
    Satu dirham riba (dosanya) kepada Allah lebih berat daripada 36 kali berzina dengan pelacur’ (Ibn Abbas seterusnya berkata) dan baginda bersabda, ‘Siapa saja yang dagingnya tumbuh dari (hasil) yang haram maka neraka lebih layak untuknya” [HR al-Baihaqi & at-Thabrani].
    Abu Hurairah ra. menuturkan bahawa Nabi SAW bersabda,
    Riba itu (ada) 70 dosa. Yang paling ringan adalah (seperti) seorang lelaki yang menikahi (menzinai) ibunya sendiri” [HR Ibn Majah, al-Baihaqi, Ibn Abi Syaibah & Ibn Abi Dunya].
    Pendidikan di dalam Islam adalah Percuma
    Berdasarkan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, baginda telah mengarahkan tawanan Perang Badar untuk mengajar membaca dan menulis sepuluh anak kaum Muslimin sebagai syarat penebusan mereka. Dengan tindakan ini, yakni membebaskan para tawanan dengan cara menyuruh mereka mengajar anak-anak kaum Muslimin, bererti Rasulullah telah menjadikan biaya pendidikan setara dengan barang tebusan. Maksudnya, Rasulullah (seperti) telah memberi upah kepada para pengajar itu dengan harta benda yang seharusnya menjadi milik Baitul Mal.
    Rasulullah juga bersabda,
    “Seorang imam (pemimpin) itu adalah penggembala (pemelihara) dan dia bertanggungjawab di atas pemeliharaannya...” [HR Ahmad]
    terdapat kesepakatan (Ijma’) sahabat tentang pemberian gaji kepada para guru yang dananya diambil dari Baitul Mal, dan anak-anak kaum Muslimin tidak dikenakan apa-apa bayaran untuk belajar. Wadhiyah bin Atha meriwayatkan: ”Di Madinah terdapat tiga orang guru yang mengajar anak-anak. Khalifah Umar memberikan nafkah kepada tiap-tiap mereka lima belas dinar setiap bulan.” (satu dinar = 4.25 gram emas).
    Setiap warganegara berhak memperolehi pendidikan percuma di semua peringkat pendidikan. Segala kos tidak boleh dikenakan, bukan hanya yuran, tetapi juga termasuk perbelanjaan buku, peralatan dan lain-lain. Semua bayaran pendidikan, termasuk gaji pendidik (guru), tenaga bukan akademik, infrastruktur sekolah, alat bantuan belajar dan mengajar, alat-alat sokongan lain yang diperlukan (seperti asrama pelajar, klinik kesihatan, pejabat pentadbiran dan lain-lain) semuanya wajib disediakan oleh negara secara percuma.
    Sejarah Sistem Pendidikan di zaman Khilafah
    Di antara sekolah-sekolah tinggi yang penting dan terkenal ialah Madrasah Nizhamiyah dan Madrasah al-Mustanshiriyah di Baghdad, Madrasah al-Nuriyah di Damsyik serta Madrasah an-Nashiyah di Kaherah. Di antara madrasah-madrasah ini, yang terbaik ialah Madrasah Nizhamiyah yang mana ia dijadikan asas ukuran bagi madrasah di daerah lain di Iraq, Khurasan (Iran) dan tempat-tempat lain. Madrasah al-Mustanshiriyah di Baghdad didirikan oleh Khalifah al-Mustanshir pada abad ke-6H. Ia memiliki sebuah auditorium dan perpustakaan yang dipenuhi pelbagai jenis kitab yang cukup untuk keperluan proses pembelajaran. Selain itu, madrasah ini juga dilengkapi dengan kamar mandi dan klinik yang doktornya sentiasa tersedia. Madrasah lain yang juga cukup terkenal adalah Madrasah Darul Hikmah di Kaherah yang didirikan oleh Khalifah al-Hakim bi-amrillah pada tahun 395H. Madrasah ini adalah sebuah institut pendidikan yang dilengkapi dengan perpustakaan yang dipenuhi dengan ruang ulangkaji dan pelbagai kemudahan pendidikan lainnya. Perpustakaannya dibuka untuk orang-ramai.
    Semua orang juga dibenarkan mendengar kuliah, ceramah ilmiah, simposium, aktiviti kesusasteraan dan pengajaran agama. Di Madrasah al-Mustanshiriyah yang didirikan oleh Khalifah al-Mustanshir di kota Baghdad, setiap mahasiswa menerima biasiswa berupa wang emas dari negara. Kehidupan seharian mereka juga ditanggung. Makanan berupa roti dan daging disediakan tanpa bayaran sedikit pun. Kemudahan madrasah tersedia lengkap seperti perpustakaan yang dipenuhi dengan buku-buku, klinik dan kamar mandi. Begitu juga dengan Madrasah an-Nuriah di Damsyik yang didirikan pada abad ke-6H oleh Nuruddin Muhammad Zengi. Di sekolah ini terdapat kemudahan seperti asrama, perumahan staf pengajar, tempat istirehat serta dewan ceramah yang luas.
    Kesimpulan
    Jika dikaji dengan akal yang jernih, kita akan mendapati bahawa PTPTN ini hanyalah untuk menyokong bisnis IPTS yang kebanyakkannya dimiliki oleh para pemodal dan konglomerat-konglomerat besar. Justeru mereka mengaut keuntungan daripada bisnis ini.

    0 Responses

Blog Widget by LinkWithin