Ramadhan oh Ramadhan

    Ramadhan datang kembali dan alhamdulillah, hayat ini masih dikandung badan untuk menikmati kemeriahan ramadhan buat kesekian kalinya. Akan tetapi, ramadhan terus berlalu, namun apa yang dilalui tetap sama. Hidup tetap di bawah naungan kekuasaan undang-undang manusia yang langsung tidak menjamin keadilan. Masih lagi tidak dapat mendengar berita kemenangan Islam dan pembukaan tanah baru bagi jihad futuhat. Meskipun tidak pernah hidup dalam zaman yang berlalu itu, tetap saja di hati ini terbit kerinduan tentang itu. Mari mengungkap sedikit sebanyak tentang kejayaan yang ditempuh oleh Khaira Ummah ini di zaman silam ketika ramadhan.

    Perang Badar Al-Kubra
    Pada tarikh 17 Ramadan tahun kedua Hijrah, bersamaan Jumaat, berlaku Perang Badr al-Kubra, satu peperangan besar yang pertama kali membabitkan kaum Muslimin melawan kaum musyrik. Pertempuran itu berlaku di sebuah lembah dekat kota Madinah, iaitu di Badr. Kaum Muslimin ketika itu hanya mempunyai kekuatan 300 orang dengan setiap dua orang menaiki seekor unta, berbanding dengan kekuatan golongan kafir kira-kira 1,000 orang dengan perincian 700 orang menaiki unta dan lebih 100 lagi anggota pasukan berkuda.

    Pembebasan Kota Mekah
    Pembebesan kota Mekah telah terjadi pada 20 ramadhan tahun 8 hijriah. Langkah kepada pembebasan ini bermula apabila kaum kafir Quraisy mengkhianati perjanjian yang telah dimetrai oleh mereka dengan Rasulullah.

    Pembebasan sebahagian besar tanah di Palestin
    Muhammad Sa’id Mursy dan Qasim Abdullah di dalam bukunya, Ramadhaniyat mencatat sejumlah peristiwa politik yang berlaku di bulan Ramadhan. Antaranya adalah kejayaan Salahuddin al-Ayubi menghancurkan dan menguasai kota ‘Asqalan, yang merupakan pintu masuk ke Al-Quds. Pada hari penaklukannya Salahuddin al-Ayubi berkata,

    “Demi Allah, sesungguhnya penghancuran benteng di ‘Asqalan lebih aku sukai walaupun aku harus kehilangan seluruh anakku. Ini adalah kerana penguasaan ‘Asqalan adalah demi kemaslahatan Islam dan kaum Muslimin”.

    Pada 583 Hijrah, Salahuddin al-Ayubi berjaya mengalahkan tentera Salib dan membebaskan sebahagian besar negeri yang telah dikuasai. Tentera Islam terus berperang sehingga berjaya merampas benteng Shafad yang terkuat. Ini berlaku pada pertengahan Ramadhan.

    Perang Ain Jalut
    Pada tahun 658H (Jumaat 25 Ramadhan), tercetus Perang Ain Jalut antara kaum Muslimin dan pasukan Tartar. Ia merupakan perang besar dalam sejarah Islam di mana tentera Islam yang diketuai oleh Saifuddin Qutuz telah berjaya mengalahkan tentera Mongol yang terkenal kejam itu.

    Pembukaan tanah Andalusia
    Pada Ramadan juga, dalam tahun ke-91 Hijrah, kaum Muslimin di bawah pimpinan Thariq bin Ziad, berjaya membuka Andalusia (Sepanyol). Peristiwa yang dikenali sebagai “Futuh Andalusia” ini begitu menyemarakkan semangat perluasan empayar Islam apabila Thariq dan tentera Muslimin, berjaya menyeberangi selat di antara Afrika dan Eropah atas perintah Musa bin Nushair penguasa Islam ketika itu.

    Demikianlah sebahagian daripada sejarah kegemilangan kaum Muslimin ketika ramadhan dahulu dan apa yang terjadi pada ramadhan sekarang adalah satu perkara yang sangat berbeza di mana kaum Muslimin hidup dalam keadaan hina, ditindas, dicabul dan ditendang sana sini dan para penguasanya adalah orang-orang yang tidak pernah takut kepada Allah SWT, lalu meggelar diri mereka Muslim. Apa yang ditunggu lagi wahai para pembaca sekalian? Tidakkah darah kalian berderau dan meyirap apabila membaca kejayaan kita dahulu jika dibandingkan dengan kehinaan sekarang? Sememangnya Allah akan mencampakkan kehinaan bagi mereka yang meninggalkan Quran dan Sunnah. Ramadhan adalah bulan ruhiyyah dan siasiyyah. Jangan kita hanya fokus pada ibadah khusus dan memperhebatkan lagi ibadah sunat, dalam masa yang sama meninggalkan ummul fardh ini, iaitu mengembalikan sistem pemerintahan Islam. Mari sama-sama kita merenung kembali dan mertabiyyah diri supaya lebih besar langkah dilangkaui.

    0 Responses

Blog Widget by LinkWithin