“Politik murahan”, demikian reaksi menteri pengajian tinggi terhadap tindakan sekumpulan pelajar berkempen di Bagan Pinang bagi membantah e-undi di tiga lagi universiti dalam pilihan raya kampus.
“Dengan hanya tidak bersetuju dengan satu sistem, dengan mengandaikan bahawa berlaku penipuan dan sebagainya, adalah politik murahan,” kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pagi ini.
“Itu publisiti murahan. Apatah lagi hendak dibuat di Bagan Pinang? Apa pendirian pelajar ini dan apa maksud sebenar yang hendak mereka lakukan?”
Beliau diminta mengulas tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang turut serta dalam kerancakan suasana pilihan raya kecil itu bagi membantah sistem pengundian berkomputer, atau dikenali juga e-undi, tidak lama lagi.
Semalam Malaysiakini melaporkan kumpulan pelajar berkenaan ke kawasan pilihan raya itu sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu bagi membantah e-undi di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada sesi pemilihan terbaru Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).
Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan Dialog Industri Kebangsaan 2009 di Putrajaya, Mohamed Khaled turut menyamakan tindakan SMM itu dengan sikap parti pembangkang.
“Sama saja macam pembangkang. (Mereka kata) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil. Bila dia menang, dapat kerajaan, tidak ada pula dia bising,” katanya.
Tambahnya, pelajar yang dikenal pasti terbabit dalam pilihan raya kecil itu boleh dikenakan tindakan, seperti termaktub dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
“Satu bab lagi, kalau kita dapati terdapat pelajar terlibat dalam pilihan raya kecil ini, dan memang di bawah AUKU – sebelum dan selepas dipinda – tidak sewajarnya.
“Kita akan ambil tindakan terhadap mereka jika kita dapat tahu. Saya tidak akan bertoleransi dengan mereka yang melanggar undang daripada dulu lagi,” jelasnya.
Mohamed Khalid juga berkata, bantahan terhadap penggunaan e-undi tersebut tidak selari dengan perkembangan zaman dan teknologi kerana banyak negara lain seperti Amerika Syarikat turut menggunakan sistem sedemikian.
“Saya ingat banyak negara pakai e-undi. Pilihan raya Amerika Syarikat untuk anak mudanya pakai e-undi.
“Kita cakap mengenai zaman teknologi ICT, kemudian satu kumpulan pelajar yang sepatutnya berpendidikan dan selari dengan zamannya tidak percaya dengan penggunaan ICT bagi memilih wakil mereka. Saya rasa ini hanya permainan politik,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khalid menjelaskan, pilihan raya kampus di seluruh negara akan bermula pada pertengahan bulan ini sehingga awal tahun depan, bergantung kepada keputusan di peringkat universiti masing-masing.
Sumber: malaysiakini
Komentar:
Bahang pilihanraya kampus mula dirasakan kembali untuk mahasiswa-mahasiswa di seluruh Malaysia. Saban tahun akan ada konflik-konflik dan sandiwara yang akan kita pertontonkan.. Seolah-olah kita merasakan politik kampus ini sama sahaja "kotornya" dengan politik Malaysia. Pasti akan ada cerita-cerita pihak yang tertindas dan menindas dan masing-masing dengan strategi untuk memikat hati masyarakat kampus demi meraih undi.
Masakan tidak dikatakan politik kampus sama saja dengan politik Malaysia. Rasanya semua sudah maklum bahawa Pro-Aspirasi membawa wadah BN dan Pro-Mahasiswa pula membawa wadah Pakatan Rakyat (Pas, PKR dan DAP). Seolah-olah Pilihanraya Kampus ini adalah medan untuk mengkader pengaruh BN atau PR.
Tahun ini, konflik yang paling menonjol adalah "E-voting". Tiga universiti yang akan menggunakan "E-voting" dengan menggantikan kaedah undian secara manual adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM). "E-voting" telah dilaksanakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) beberapa tahun yang lepas.
Ada dua hujah yang diketengahkan oleh mahasiswa-mahasiswa yang menentang "E-voting" ini. Pertama kerana tiada lagi kerahsiaan pengundi. Kedua, kebimbangan keputusan pilihanraya lebih mudah dimanipulasi oleh pihak pentadbiran.
Semua masalah-masalah yang berkaitan dengan pilihanraya kampus di Malaysia ini boleh dibahagikan kepada 2 pecahan yang mendasar.
1. Masalah politik kepartian - mahasiswa vs mahasiswa (BN vs PR)
2. Masalah sistem pilihanraya - mahasiswa vs pentadbiran universiti
Masalah ini akan dikupas dengan lebih lanjut kemudian insyaAllah..
Perihal Politik Kampus ini yang sentiasa tegang dengan pelbagai permasalahan tidak akan selesai selain kita kembali kepada Al-Quran dan as-Sunnah yakni kembali kepada amalan as-Siayasah, politik Islam yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Percaya atau tidak, konflik yang tampaknya tiada kesudahan ini ada penyelesesaiannya di dalam Islam. Penyelesaian ini bukan untuk mahasiswa yang beragama Islam sahaja, tetapi untuk mahasiswa yang bukan beragaman Islam juga.
Baca: Politik wajib di Dalam Islam? untuk mengetahui konsep politik Islam yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.
0 Responses