Mengapa kami anti-feminisme? (i)





    REALITI
    Idea-idea feminisme mendapat perhatian global sejak PBB mencanangkan paradigma baru isu-isu wanita yang hangat diperdebatkan bermula tahun 1975-1985. Sejak itu, isu-isu wanita menjadi isu penting yang dibincangkan oleh segenap lapisan masyarakat sehinggalah ke peringkat antarabangsa. PBB di bawah pengaruh AS memainkan peranan penting sebagai pihak yang memacu penularan isu-isu tersebut, terutamanya di dalam forum-forum khusus yang membincangkan tentang isu wanita seperti Forum Mexico 1975, Copenhagen 1980, Nairobi 1985 dan Beijing 1995.
    Akibatnya, isu-isu feminisme ini juga melahirkan pelbagai aliran pendapat dari Dunia Islam. Propaganda kaum feminisme sama ada secara individu atau berkelompok (khasnya melalui NGO) turut meningkat secara mendadak. Feminisme yang pada asalnya lahir dari idea sekularisme atau sosialisme itu akhirnya berjaya menembusi Dunia Islam dan semakin menjadi pandangan yang meresap masuk ke pelbagai peringkat masyarakat. Maka, tersohorlah nama-nama feminis Muslim seperti Fatimah Mernissi (Morocco), Taslima Nasreen (Bangladesh), Riffat Hassan (Pakistan), Ashgar Ali Engineer (India), Aminah Wadud (UK), Zainah Anwar (SIS Malaysia) dan Didin Syafrudin, Musdar Mulia, Wardah Hafizah dan Myra Diarsi (Indonesia).
    Realitinya, idea-idea feminisme yang dilontarkan kelompok-kelompok dan individu-individu tersebut nampaknya cukup berpotensi untuk menitikkan air liur kaum Muslimah yang laparkan perjuangan, iaitu mereka yang mempunyai semangat dan idealisme yang tinggi untuk cuba mengubah keadaan hari ini menjadi lebih baik. Jika diperhatikan, idea-idea yang dibawakan oleh kaum feminisme ini didasarkan pada 'metod ilmiah', yang dikemaskini dengan retorik-retorik dan tema-tema emosional yang mampu menyentuh lubuk-lubuk perasaan mereka, seperti "perjuangan hak-hak wanita", "penindasan wanita", "perlecehan terhadap wanita" dan lain-lain. Munculnya tema-tema seperti ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana realiti masyarakat sekular-kapitalistik seperti hari ini seringkali menampilkan sosok kaum wanita sebagai sangat memilukan; terbelakang berbanding dengan kaum lelaki dalam bidang-bidang vital seperti politik, kepimpinan, pekerjaan, pendidikan, sosial dan lain-lain. Walhasil, gerakan ini hampir berjaya menarik perhatian kaum muslimah. Persoalannya, bagaimanakah pandangan yang perlu diambil oleh muslimah di dalam mendepani hal ini?
    FEMINISME: RUH GERAKAN WANITA
    Feminisme, sebagai roh gerakan wanita bermaksud " suatu kesedaran akan penindasan dan kekerasan terhadap kaum wanita di dalam masyarakat, di tempat kerja, dan di dalam keluarga, serta tindakan yang dijalankan atas dasar kesedaran terhadap isu-isu tersebut oleh kaum wanita atau lelaku untuk mengubah keadaan tersebut. Menurut definisi ini juga, seseorang yang menyedari adanya 'sexisme' (diskriminasi atas dasar jenis kelamin), dominiasi lelaki, sistem patriarki dan melakukan sesuatu tindakan untuk menentang dan menghapuskannya, adalah juga seorang feminis
    Menurut Yuhanar Ilyas, seorang feminis muslim bukan saja memiliki kriteria-kriteria di atas (kesedaran akan bias gender) tetapi juga adalah seorang yang beragama Islam dan paling penting, berani mempersoalkan hukum-hukum syariat Islam berkaitan isu-isu wanita yang dianggap sangat konservatif.
    Menurut analisis feminisme, bias gender tersebut wujud akibat kesalahfahaman terhadap konsep gender yang dianggap sama dengan konsep seks, walaupun secara bahasa, istilah "gender" dan "seks" sememangnya membawa makna yang sama iaitu jenis kelamin. Bagi kaum feminis, konsep seks adalah sesuatu yang bersifat kudrati (given) dan alami, yang telah ditentukan sejak lahir dan tidak mungkin akan diubah-ubah. Selain itu, mereka berpendapat bahawa konsep seks ini hanya berhubungkait dengan jenis kelamin dan fungsi-fungsi biologinya sahaja, di mana akibat dari ciri kewanitaannya, wanita mampu untuk hamil, melahirkan, menyusui anak.
    Sementara konsep gender menurut pejuang feminisme, bukanlah sesuatu yang bersifat kudrati, atau alami. Ia merupakan hasil dari interaksi sosial dan budaya yang telah dilalui sepanjang sejarah manusia. Contohnya, wanita itu fitrahnya lemah lembut, emosional, dan akibatnya hanya sesuai untuk berperanan di dalam ruang lingkup domestik (rumah). Ini berbeza dengan kaum lelaki yang kuat, rasional, dan layak untuk berperanan dan mendominasi masyarakat di khalayak umum. Di manakah pula peranan agama di dalam hal ini? Menurut kaum feminis, agama diletakkan sebagai salah satu faktor utama yang berperanan untuk membangunkan prinsip-prinsip interaksi sosial dan budaya di dalam sesebuah masyarakat. Melalui proses yang panjang ini, konsep gender akhirnya dianggap sebagai suatu ketentuan Tuhan, yang secara tidak langsung bersifat biologis dan kudrati sama seperti konsep seks yang diterangkan sebelumnya.
    Walaupun para feminis mempunyai kesedaran yang sama berkenaan dengan ketidakadilan gender, mereka sebenarnya berbeza pendapat tentang (i) sebab-sebab terjadinya ketidakadilan gender tersebut dan (ii) objektif yang ingin dicapai di dalam perjuangan mereka. Perbezaan perspektif inilah yang akhirnya melahirkan empat aliran utama feminisme iaitu;
    1) Feminisme Liberal
    2) Feminisme Marxis
    3) Feminisme radikal
    4) Feminisme Sosialis
    Sebaik saja idea feminisme ini tersebar dan diperjuangkan oleh sebahagian kaum muslimin, mereka kemudiannya mengadakan kajian khusus untuk mengetahui sebab-sebab terjadinya ketidakadilan gender, terutamanya yang menyangkut kepercayaan dan hukum-hukum syariat Islam terhadap lelaki dan wanita. Menurut Asghar Ali Engineer, terjadnya ketidakadilan gender adalah kerana kepercayaan-kepercayaan teologis bahawa wanita sememangnya diciptakan lebih rendah daripada kaum lelaki. Beliau kemudiannya memberi contoh berkaitan larangan wanita untuk memegang tampuk kekuasaan, batas-batas kepemilikan kaum wanita berbanding lelaki, dan anggapan bahawa tempat bagi wanita hanyalah di rumah-rumah dan di ceruk dapur. Punca utama berlakunya keadaan ini menurut beliau ialah hasil dari penafsiran para mufassirin yang majoritinya adalah kaum lelai terhadap Al-Quran untuk mengekalkan dominasi lelaki terhadap wanita
    Kaum feminis muslim kemudiannya mengajukan konsep kesetaraan gender sebagai jawapan terhadap permasalahan bias gender tersebut. Asghar, salah seorang dari kelompok tersebut, mengajukan konsep 'baru' berkenaan kesetaraan gender yang disandarkan kepada Al-Quran. Menurutnya, di dalam kitabullah sendiri mengisyaratkan 2 perkara utama:
    1. Dalam pengertian yang umum, perlu ada penerimaan dan public opinion bahawa tiada perbezaan antara lelaki dan wanita. Kedua-duanya adalah setara.
    2. Masyarakat juga perlu menerima bahawa lelaki dan wanita mempunyai hak-hak yang setara di dalam bidang sosial, ekonomi dan politik, seperti kesetaraan hak untuk mengadakan akad nikah atau memutuskannya, kesetaraan hak untuk memiliki atau mengatur harta miliknya tanpa campur tangan pihak lain, kesetaraan hak untuk memilih atau menjalani cara hidup, dan kesetaraan hak dalam tanggungjawab dan kebebasan.
    Secara ringkas, substansi idea feminisme muslim ini menurut Syeikh Taqiyyuddin An-Nabhani ialah menjadikan kesetaraan (al musawaah/equality) sebagai batu loncatan atau jalan untuk meraih hak-hak wanita. Dengan erti kata lain, feminisme sebenarnya meletakkan kesetaraan hak antara lelaki dan wanita.
    Berdasarkan konsep kesetaraan hak itulah, para feminis muslim membatalkan dan menggantikan pelbagai idea dan hukum Islam yang dianggap tidak sesuai dengan konsep kesetaraan gender. Namun, mereka tidak pula menyebutkannya sebagai "penggantian" atau "pembatalan" apatahlagi "pencerobohan kurang ajar" hukum-hukum Islam, melainkan dengan bahasa lunak yang menjengkelkan, mereka menyebutnya sebagai "penafsiran ulang" atau bahkan (dengan sombong dan tanpa rasa malu) menganggap usaha mereka sebagai usaha "pelurusan" dan "pembetulan". Ini seolah-olah hukum Islam itu keliru, atau ditafsirkan secara keliru dan songsang, sehingga perlu diluruskan semula oleh para feminis muslim. Kesalahan fatal diletakkan di bahu-bahu para mufassirin dan mujtahud yang mengistinbath hukum-hukum yang dianggap mengekalkan ketidakadilan gender tersebut. Mereka dicop sebagai pihak yang bias dalam ijtihad mereka serta dituduh sengaja melakukan hal tersbut untuk mengekalkan dominasi lelaki dan secara tidak langsung membenarkan penindasan kepada kaum wanita.
    Antara isu-isu yang ditimbulkan oleh feminis dan ditolak oleh mereka adalah:
    1. Konsep penciptaan Hawa daripada tulang rusuk Nabi Adam AS.
    2. Konsep kepemimpinan rumahtangga bagi lelaki
    3. Hukum persaksian seorang lelaki = dua wanita
    4. Hukum pewarisan dua bahagian bagi lelaki, dan satu bahagian wanita
    5. Kewajipan berjilbab dan menutup aurat.
    6. Kebolehan berpoligami bagi suami
    7. Keharaman melakukan hubungan suami isteri ketika isteri dalam keadaan haid
    8. Keharaman wanita melakukan solat ketika haid
    9. Ketentuan saf jemaah lelaki di hadapan jemaah wanita. Malah membolehkan wanita menjadi imam kepada lelaki, menyampaikan khutbah dan mengumandangkan azan!
    Salah satu kaedah untuk menjustifikasikan penafsiran mereka, mereka menggunakan metod historis-sosiologis untuk memahami nas-nas Al-Quran dan As-sunnah. Kaedah ini mengandaikan bahawa keadaan sosial masyarakat merupakan faktor yang melahirkan pelbagai peraturan. Dengan kata lain, mereka beranggapan bahawa realiti masyarakat adalah sumber hukum!, dan ini sangat berkaitrapat dengan konteks ruang (tempat) dan waktu (fasa sejarah) di mana suatu masyarakat itu hidup. Hasilnya, mereka sampai kepada kesimpulan bahawa jika konteks sosial masyarakat berubah, maka peraturan dan hukum turut perlu berubah. Dari sinilah, para feminis memandang bahawa hukum-hukum Islam sebenarnya lahir bersesuaian dengan keadaan sosial masyarakat di zaman Rasulullah dan para sahabat sahaja. Walhasil, hukum-hukum ini perlu ditafsirulang agar relevan dan sesuai dengan perubahan sosial masyarakat seperti yang dialami masyarakat moden hari ini.
    (Bersambung)

    0 Responses

Blog Widget by LinkWithin