Analisis Hakikat Kaum Muslimin Hari Ini.

    Kekeliruan atau kejahilan kaum muslimin dalam memahami syariat Allah menyebabkan sehingga ke hari ini kaum muslimin masih lagi celaru dan tidak mengerti kenapa mereka perlu melaksanakan syariat Allah. Namun suka penulis untuk membahagikan perbahasan ini kepada dua bahagian iaitu pada peringkat masyarakat biasa dan pada peringkat pemerintahan bernegara.
    Setiap apa yang Allah ciptakan Allah telah memberi panduan atau ‘buku manual’utk diikuti, seperti mana berlangsungnya alam ini mengikut peraturannya. Firman Allah SWT;
    “Dan bulan pula Kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering. Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui” [QS 36: 39-40]
    Namun bagi manusia telah Allah berikan mereka dua pilihan untuk menguji keimanan mereka sama ada mahu tunduk dan patuh ataupun ingkar dan kufur. Demikianlah firman Allah SWT;
    Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?” [QS 90: 10]
    Hakikatnya umat Islam hari ini terlalu banyak memberi alasan dan dalih dalam melaksanakan syariat. Antaranya ialah memisahkan kehidupan lelaki dan wanita. Sebagai contoh, dalam bidang pendidikan, kelompok lelaki dan perempuan tidak dipisahkan dengan pelbagai alasan seperti persaingan sihat antara jantina, mengelakkan diskriminasi gender, membiasakan pelajar dengan suasana pekerjaan di luar dan pelbagai lagi alasan dangkal. Malahan tak kurang juga ada yang berpendapat “kita bukan suruh kamu buat maksiat, tapi belajar bersama-sama”. Akan tetapi situasi yang sebenarnya dapat dinilai sendiri bahawa sistem sebeginilah yang telah melahirkan penzina, pergaulan bebas dan runtuhnya perasaan malu di antara dua gender ini. Dimulai dengan perkenalan sebagai rakan kongsi dalam hal-hal ilmu, berlanjutan kepada belajar bersama dan saling jatuh hati, lalu tidak diteruskan dengan pernikahan tetapi diteruskan dengan kemaksiatan. Lama-kelamaan perkara ini telah menjadi public opinion pada masyarakat sehingga perkara ini tidak lagi ganjil dalam masyarakat kaum Muslimin. Tidak dinafikan ada yang mengikat hubungan mereka dengan ikatan pernikahan tetapi selalunya proses sebelum berlakunya pernikahan itu pasti tidak mengikut syariat. Lalu hari ini masyarakat hairan kenapa gejala pembuangan anak haram bertambah dari hari ke hari, namun tidak menyedari mereka hidup dalam sistem yang hina yang melahirkan masyarakat yang penuh dengan kemaksiatan dan kehinaan. Lalu dengan sistem sebeginikah kita harapkan tokoh-tokoh seperti Umar ibn Khattab, Salahuddin al-Ayubi, Ahmad bin Hanbal dan Tariq bin Ziyad? Penjelasan yang sangat perlu diterangkan kepada umat ialah TOKOH-TOKOH INI TIDAK DILAHIRKAN DENGAN DIDIKAN DAN SISTEM YANG BOBROK SEPERTI HARI INI. Mereka tidak hidup dalam sistem yang membiarkan pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batasan, mereka tidak hidup dalam sistem yang menjadikan tubuh wanita sebagai bahan pertunjukkan dan mereka tidak hidup dalam sistem ekonomi yang mengamalkan riba, tetapi mereka hidup dalam sistem mulia yang mengesakan Allah dalam setiap aktiviti harian mereka, berhukum hanya dengan hukum Allah dan tidak mempedulikan sedikitpun hadharah kaum kuffar. Kerana mereka mengerti Islam itu sudah cukup sempurna dan tidak perlu tokok tambah unsur-unsur dari luar.
    Bagi mereka yang memegang tampuk kekuasaan pula, mereka telah dibutakan dengan dunia. Dek kerana kepentingan dunia mereka dan kroni mereka, hukum Allah dibuang jauh. Mereka membutakan mata mereka,memekakkan telingan mereka dan mencacatkan anggota tubuh mereka daripada melaksanakan syariat Allah. Sungguh, mereka berpaling dari apa yang diturunkan Allah. Firman Allah SWT;
    “..Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintahKu) dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia) dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.” [QS 5: 44]
    “..dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [QS 5: 45]
    “..dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” [QS 5: 47]
    Wahai kaum Muslimin
    Bukalah mata kalian. Jernihkan hati kalian dengan seruan ini. Hadapkan jiwa dan roh kalian kepada apa yang Allah turunkan. Selagi mana kamu tidak mahu berubah daripada sistem yang kufur ini kepada sistem yang disyariatkan Allah, selagi itu kamu akan melihat zina berleluasa, anak-anak haram dibuang bersepah-sepah, kalian dipaksa membayar cukai, anak-anak kalian dibentuk menjadi sekular dan liberal di sekolah-sekolah, kalian berhutang dengan riba dalam segala hal, anak-anak kalian dibogelkan dan ditayangkan di media-media hiburan, kaum wanita kalian dirogol, anak-anak kalian menjadi gay dan lesbian, anak-anak kalian tidak tahu membaca al-Quran, kalian tidak bersaudara dengan muslim seluruh dunia walaupun Islam menyatakan kalian bersaudara dan perkara ini akan dilanjutkan lagi oleh anak cucu kalian!
    “..sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [QS 5: 53]

    0 Responses

Blog Widget by LinkWithin