Sistem yang Rosak Memunculkan 1001 Kerosakan



    Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Statistik jenayah daripada Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman menunjukkan bahawa 2,431 wanita dilaporkan diperkosa sepanjang tahun 2006, berbanding 1,931 mangsa pada 2005.

    Statistik-statistik ini benar-benar menunjukkan kerosakan masyarakat yang dihasilkan oleh sistem demokrasi yang dihadiahkan oleh kuffar British. Hari demi hari, masyarakat semakin dirosakkan oleh sistem yang tidak pernah mengambil berat soal moral masyarakat! Mat rempit-mat rempit yang berlumba kerana sebatang tubuh gadis sudah menjadi perkara biasa, sarang bagi para pemuas nafsu homoseksual di Taman Permaisuri, Kuala Lumpur semakin bertambah-tambah, manakala pelacuran membiak begitu pantas berlesenkan rumah urut. Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendedahkan mengenai kewujudan kira-kira 4,700 pusat hiburan di Selangor yang menawarkan khidmat urut. Di daerah Kelang sahaja, ada lebih kurang 500- 1000 premis yang berlindung di atas nama urutan tradisional dan refleksologi, sedangkan perniagaan sebenarnya adalah pelacuran. Dasar liberal kerajaan negeri dalam pengeluaran lesen pusat urut menjadi punca kegiatan tersebut berleluasa. Mereka tidak akan pernah memikirkan soal runtuh atau tidak sesebuah masyarakt kerana yang difikirkan mereka itu hanyalah manfaat duit yang hendak diraih daripada lesen yang diberikan!

    Pada tahun 90-an, masyarakat sering dimomokkan dengan istilah budaya kuning yang menjadi ancaman kepada budaya kita. Namun, anehnya pada hari ini budaya kuning itu pada faktanya telah menjadi budaya sebahagian daripada masyarakat kita! Bagi masyarakat barat, mereka tidak menganggap bahawa isu sosial diantara lelaki dan perempuan itu sebagai satu masalah. Ia hanya menjadi satu masalah apabila apabila hak seseorang itu diganggu. Sebagai contoh di Amerika, pelacuran yang benar-benar berleluasa itu bukanlah satu kesalahan. Makanya, tugas polis itu bukanlah untuk menangkap pelacur, tetapi memastikan perniagaan pusat-pusat pelacuran itu dapat dijalankan secara aman!

    Sambil-Lewa Kerajaan
    Namun, suatu hal yang sangat disedihkan ialah apa yang dilakukan oleh orang-orang yang memegang kekuasaan. Tindak-tanduk mereka itu bukan lagi usaha untuk mencegah gejala sosial ini daripada terus merebak, sebaliknya memasukkan lagi budaya iblis ini ke jantung masyarakat! Siapakah yang membenarkan pusat judi, kilang arak, disko, rumah urut dan konsert beroperasi secara sebebas-bebasnya? Semua sudah tahu jawapannya.

    Hakikatnya, kerajaan tidak berminat langsung untuk menyelesaikan masalah gejala sosial ini. Walaupun kerajaan tidak pernah mengumumkan tentang hal ini, namun sistem yang diterapkan oleh kerajaan itu begitu jelas mengabaikan hal ini. Sejauh manakah keseriusan mereka di dalam menyelesaikan masalah ini? Statistik sudah ada, bilangan nombor terus bertambah, jadi apakah langkah tuntas yang dibuat oleh kerajaan? Apakah cukup dengan Enakmen Syariah yang mendenda pelaku zina sebanyak RM5000 sahaja? Dalam hal ini, orang kayalah yang paling beruntung kerana begitu mudah untuk melepaskan diri dan mengulang perbuatan yang sama. Segala masalah sosial yang berlaku ini sebenarnya muncul daripada naluri manusia itu apabila ianya dirangsang, dan sistem yang ada pada hari ini sangat merangsang “naluri pembiakan” ini. sekiranya naluri ini tidak dikawal, ianya pasti akan meronta-ronta kerana mahu memberontak. Satu-satunya cara untuk membendung keganasan naluri ini hanyalah dengan menerapkan hukum syara'.

    Umat kini mendambakan penerapan syariah secara kaffah (menyeluruh), namun kini penghadangnya hanya satu, iaitu pemimpin angkuh yang berterusan menerapkan sistem buatan penjajah tanpa mempedulikan keinginan ummat! Hanya dengan penerapan Syariah, segala masalah manusia dapat diselesaikan, kerana hanya Pencipta yang mempunyai ubat terhadap apa yang diderita makhluk-Nya...

    0 Responses

Blog Widget by LinkWithin