Kembalikan Khilafah, Selamatkan Dunia!


    Sejak 28 Rejab 1342H, maka bermulalah segala episod kesengsaraan yang menimpa ke atas umat Islam. Bermula daripada saat inilah, Mustafa Kamal la’natullah ‘alaih telah membuka pintu gerbang dosa kaum muslimin dengan menghalang kewajipan membai’at kepada seorang Khalifah. Badai taufan yang begitu dahsyat itu telah memaksakan ajaran Islam itu hendaklah diajar mengikut dimensi spiritual dan rohaniah sahaja dengan memukul sejauh-jauhnya bahagian yang seharusnya tidak terpisah daripada Islam iaitu siyasah. Angin taufan itu meniup dengan begitu kencang sehingga benar-benar memberi kesan kepada gadis-gadis Melayu yang akhirnya menerbangkan sejauh-jauhnya pakaian kemuliaan wanita Muslimah. Semua ini dijayakan melalui kempen “Divide and Conquer”.

    Kuffar barat mulai menyebarkan penyakit kronik ke dalam tubuh umat Islam, “faslud deen ‘anil hayah” (pemisahan agama daripada kehidupan), yakni Sekularisme. Sehinggakan umat Islam sudah tidak merasakan lagi wajibnya diatur hanya dengan sistem ekonomi Islam, hanya dengan pemerintahan Islam, dan hanya dengan aturan yang diturunkan oleh Allah swt. Mereka berlumba-lumba melakukan solat sunat dan amalan-amalan nafilah yang lain, tetapi pada masa yang sama mereka melupakan kewajipan menerapkan hukum Allah dalam bentuk sistem sosial, politik, pendidikan yang masih belum lagi tertunai. Penyakit ini jauh lebih merbahaya daripada wabak H1N1!

    Kerosakan Demokrasi

    Demokrasi itu lahir dari akal manusia yang sangat terbatas, iaitu sebuah sistem “trial and error”, iaitu sistem “cuba dan gagal”! Demokrasi meletakkan dua asas yang sering diutamakan dan didepankan. Pertamanya ialah As-Siyadah (kedaulatan). Pada hari ini Najib meletakkan kedaulatan di tangan rakyat sehingga segala perkara yang berlaku hendaklah meletakkan rakyat di tempat paling utama. Sehinggakan sekiranya suara majoriti menolak hukum Islam, maka kita akan terima! Itulah realiti demokrasi yang berlaku. Elemen kedua yang menjadi tunjang kepada demokrasi ialah As-Sulthah (kekuasaan). Demokrasi menyatakan bahawa kekuasaan itu berada di tangan rakyat dimana kerajaan itu akan dibahagikan menjadi tiga tiang yang utama, iaitu badan judikatif, eksekutif, dan legislatif. Badan judikatif (kehakiman) akan berfungsi sebagai pemelihara perlembagaan dan undang-undang tinggalan penjajah kuffar British, eksekutif adalah para menteri, manakala legislatif (parlimen) berfungsi sebagai pembuat hukum, sekaligus mengambil-alih kuasa membuat hukum yang sewajibnya hanya berada di tangan Allah swt semata-mata! Walau sekiranya hukum Allah hendak diterapkan, maka ianya wajib melalui persetujuan daripada manusia terlebih dahulu! Alangkah tingginya kedudukan manusia di dalam demokrasi seraya mencampakkan Al-Qur’an dan As-Sunnah ke dinding-dinding!
    “Mereka telah menjadikan para pembesar mereka dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah”
    [TMQ at-Taubah (9):31].

    Ketika turun ayat ini, Rasulullah menjelaskan bahawa sesungguhnya para pembesar dan para rahib telah membuat hukum, kerana mereka telah menetapkan status halal dan haram bagi masyarakat, lalu masyarakat mentaati mereka. Sikap demikian dianggap sama dengan menjadikan para pembesar dan para rahib itu sebagai tuhan-tuhan selain Allah. Ini adalah sebagaimana penjelasan Rasulullah kepada Adi Bin Hatim dalam menjelaskan ayat tersebut,

    “...Benar, mereka tidak menyembah para pembesar dan para rahib itu. Akan tetapi, ketika para pembesar dan para rahib itu menghalalkan sesuatu bagi mereka, mereka pun menghalalkannya, dan jika para pembesar dan para rahib itu mengharamkan sesuatu, mereka pun mengharamkannya” [HR Tarmizi].

    Maka apakah bezanya perbuatan orang nasrani yang membenarkan rahib-rahib mereka mengubah hukum Allah dengan model demokrasi dimana rakyat mengangkat pemimpin yang akan menentukan apa yang halal dan apa yang haram seakan-akan mereka telah menjadi Tuhan kerana satu-satunya yang berhak membuat hukum hanyalah Allah swt!
    Persoalannya, apakah rakyat bahagia dengan demokrasi?? Menurut SPRM, setiap 5 tahun, jumlah dana untuk sesebuah pilihan raya dianggarkan melebihi ratusan juta ringgit dibelanjakan. Walhal, jumlah pengundi hanyalah sekitar 4 juta orang sahaja. Alangkah besarnya jumlah duit yang digunakan untuk ‘menarik’ rakyat keluar mengundi!

    Siapakah yang sebenarnya berkuasa di Malaysia? Jumlah kekayaan Ananda Krishnan, Robert Kuok, beberapa orang sahaja sudah menyamai jumlah kekayaan negara Malaysia! Maka terbongkarlah sebab mengapa lesen judi lumba kuda, sport toto, kilang arak, dan Genting Highland dihalalkan, kerana akhirnya kerajaan akan mendapat imbalan ratusan juta ringgit daripada tauke-tauke judi ini! Merekalah sebenarnya yang mengatur politik negara ini, pemimpin-pemimpin yang ada hanya menjayakan rencana-rencana mereka kerana mereka telah bersumpah untuk mengabdikan diri kepada para kapitalis ini! Maka segala monopoli gula, kenaikan harga minyak dan tol hanyalah akan menguntungkan kaum kapitalis semata-mata. Padahal negaralah yang seharusnya menjadi pelindung kepada rakyat kini melahap dengan rakusnya kekayaan milik rakyat!

    Inilah hakikat sistem demokrasi, mereka membiarkan penindasan bermaharajalela. Apabila umat menyuarakan penegakan hukum Islam, mereka berdalih dengan menyatakan bahawa hukum ini akan menganiaya orang-orang non-muslim. Mereka sanggup menyatakan hal sedemikian semata-mata kerana memperjuangkan hak-hak orang kafir. Inilah Demokrasi!

    80% rasuah berlaku di dalam dunia Islam saat ini subur di dalam sistem demokrasi, kerana sistem ini sememangnya membenarkan nepotisme berlaku. Statistik JPN tahun 2000-2008 menunjukkan 257,000 anak luar nikah dilahirkan dengan begitu cepat sekali di dalam sistem demokrasi ini. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengesahkan bahawa 75% orang Melayu adalah pengamal judi nombor ekor dan sebanyak 250,000 orang Islam sedang menanti untuk diluluskan permohonan Murtad oleh mahkamah! Tahun 2006 dan 2007 mencatatkan sebanyak 75,299 tuntutan kes cerai di Mahkamah Syariah seluruh negara. Manakala (JAKIM) melaporkan sebanyak 20,259 kes penceraian pada tahun 2007! Pertubuhan Pertanian dan Makanan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) mengumumkan pada tahun 2009 bahawa populasi manusia yang mengalami kebuluran di bumi ini telah mencatat 1.02bilion! Penderaan yang begitu kejam di penjara Abu Gharib, Guantanamo Bay, Afghanistan, Andijan ke atas umat Islam dimana setiap hari kaki-kaki mereka ditusuk batu kerikil tajam yang menghalang mereka daripada tidur secara baring dan setiap 4 jam mereka akan dikenakan kejutan eletrik sehinggakan sebahagian daripada mereka menjadi gila kerana seksa yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim Demokrasi Amerika! Sistem ini jugalah yang telah membunuh jutaan saudara-mara kita di Afghanistan dan Iraq. Maka inilah wajah sebenar Demokrasi yang kononnya mengamankan dunia.

    Apakah kita masih mahukan sistem yang rosak ini? Sistem yang tidak pernah menjunjung Islam malah menginjak-injak kemuliaan Islam! Maka sudah tibalah saatnya bagi kita mengembalikan Islam secara kaffah (menyeluruh), supaya kita bersatu-padu dan tidak berpecah lagi. Sesungguhnya janji Allah dan Rasul dalam perkara ini adalah jelas bahawa Islam akan kembali berkuasa di muka bumi sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis di bawah;

    ”Rasulullah Sallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Masa kenabian itu ada di tengah-tengah kalian, adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya masa kerajaan yang menggigit (Mulkan ’Adhan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Setelah itu, masa kerajaan yang menyombong (Mulkan Jabariyyan), adanya atas kehendak Allah, kemudian Allah mengangkatnya apabila Dia menghendaki untuk mengangkatnya. Selanjutnya adalah masa Khilafah yang mengikuti jejak kenabian (Khilafah ’ala minhaj an-nubuwwah). Kemudian beliau (Nabi) diam.”
    [HR Ahmad dan Baihaqi dari Nuâman bin Basyir dari Hudzaifah]

    0 Responses

Blog Widget by LinkWithin