Sistem Pendidikan Yang Melemahkan Umat

    Jika kita telusuri dan membuat perhatian yang mendalam tentang system pendidikan yang ada, kita akan dapati bahawa system pendidikan yang ada adalah tidak selari dengan kehendak syarak malahan menjauhkan manusia dari mengenali hukum syarak. Ramai pelajar-pelajar yang kita lihat seolah-olah ‘berjaya’dalam hidup mereka tetapi sebenarnya mereka tidak mengetahui dan tidak memahami hakikat kejayaan yang telah ditetapkan Allah SWT. Sehubungan dengan hal ini, saya ingin memberi beberapa realiti yang berlaku dalam masyarakat hasil didikan dengan system pendidikan yang ada.


    Kegagalan Umat memahami tujuan kehidupan

    Pelajar-pelajar diasuh supaya memandang ‘kerjaya’ mereka sebagai tujuan hidup, di mana untuk menjadi seorang yang berjaya dan berkerjaya, pelajar digalakkan supaya tidak hanya belajar secara teori semata, tetapi wajib terlibat dalam pelbagai aktiviti-aktiviti luar yang boleh membentuk keyakinan diri dalam setiap pelajar. Dalam hal ini, tidak salah untuk mempunyai kerjaya yang dijadikan target untuk dicapai, akan tetapi bukanlah ‘kerjaya’ tersebut yang dijadikan asas kepada tujuan hidup. Sesungguhnya Allah SWT telah menjelaskan kepada kita di dalam al-Quran tentang tujuan diciptakan manusia dan kehidupan. Firman Allah SWT;


    Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi..” [QS 2: 30]

    Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” [QS 51: 56]

    Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)” [QS 67: 2]

    Malangnya tujuan hidup yang telah digariskan Allah SWT ini tidak diberikan penekanan malahan pelajar-pelajar ditakut-takutkan dengan kegagalan mereka untuk mendapatkan pekerjaan kelak jika kurang terlibat dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum. Akibatnya keadaan ini menyuburkan lagi pemikiran-pemikiran materialistik dalam minda pelajar dan akhirnya ramai pelajar yang terjerumus ke lembah kelalaian dalam memahami tujuan penciptaan diri mereka. Adakah system pendidikan sebegini layak diambil dan dipelajari umat Islam? Untuk menunjukkan atau membuktikan bahawa pelajar-pelajar Beragama Islam kononnya tetap dididik dengan Islam, maka diwujudkan pula mata pelajaran Pendidikan Islam atau apa-apa yang berkaitan dengan hal-hal Islami untuk menjustifikasikan alasan mereka. Namun tidaklah pelajar-pelajar ini mempelajari matapelajaran tersebut melainkan kerana terpaksa dan semata-mata untuk memperoleh gred yang baik ataupun untuk membantu menaikkan CGPA mereka. Hal ini bukanlah tidak benar, malahan anda sendiri boleh memerhatikan sekeliling anda betapa gagalnya anak-anak muda kaum Muslimin hari ini dalam memahami keberadaan diri mereka sebagai seorang Muslim yang ditaklifkan pelbagai kewajipan dari Allah SWT. Saban hari di dada-dada akhbar, kita disajikan dengan ‘kegagalan demi kegagalan’ anak-anak muda kaum Muslimin dalam kehidupan mereka di mana kes-kes jenayah dan salah laku di kalangan anak-anak muda kaum Muslimin semakin meningkat seolah-olah tiada ubatnya. Adakah disebabkan Islam gagal mentarbiyah umatnya? Atau umatnya yang gagal mentarbiyahkan Islam dalam kehidupan? Akibat dari gagalnya kaum Muslimin memahami keberadaan mereka sebagai Muslim, maka mereka berbuat sesuai dengan pemahaman mereka. Maka jadilah mereka kaum Muslimin yang mundur pemahaman tsaqofah Islamnya, dan gagal menjadi umat yang bangkit kerana Islam tidak diajarkan kepada mereka secara kaffah. Lantas islam pun tidak berkembang, malahan menjadi semakin mundur dan terpukul ke belakang, walaupun berdirinya bangunan-bangunan canggih di dalam negeri mereka.


    Kegagalan memahami ukuran setiap perbuatan manusia

    Oleh kerana gagalnya system pendidikan yang ada untuk mengajar kaum Muslimin memahami erti kehidupan, maka dengan secara tidak langsungnya system ini juga gagal mengajar kaum Muslimin tentang ukuran setiap perbuatan manusia. Pelajar-pelajar diajar bagaimana untuk memanfaatkan aqal untuk memuaskan keinginan mereka. Saya mempunyai 2 contoh di sini untuk diketengahkan.

    Pertama, apabila tujuan menuntut ilmu itu diletakkan pada hal-hal yang membawa kepada pemikiran materialistic, maka bermacam-macam perbuatan mereka itu dihalalkan untuk mencapai matlamat tersebut. Antaranya dibenarkan lelaki dan perempuan bercampur sewenang-wenangnya atas alasan belajar dan membuat tugasan khas. Lalu perbuatan begini dijustifikasikan dengan alasan bahawa apabila mereka bekerja kelak, mereka akan berhadapan juga dengan keadaan yang sedemikian rupa. Hal ini menuntut mereka untuk belajar dari peringkat sekarang agar akan datang pelajar-pelajar ini tidak kekok untuk bercampur lelaki perempuan di luar sana. Jadi perbuatan-perbuatan yang menyalahi hukum syarak dihalalkan dengan aqal mereka kerana ingin mencapai tujuan ‘murni’ yang dikatakan mereka. Lalu akhirnya akibat buruk itu tetap memuntahkan hasilnya iaitu lahirnya golongan pemuda-pemudi yang bebas bergaul, bergurau senda, coupling dan akhirnya membawa kepada lahirnya anak luar nikah yang dibuang merata-rata dan akhirnya rosaklah umat manusia. Malahan perbuatan mereka dijustifikasikan lagi dengan alasan ‘mengeratkan ukhuwwah’ sesama pelajar dan tidak seharusnya ada diskriminasi gender di kalangan pelajar. Padahal apa yang dilakukan mereka ialah mengeratkan maksiat di kalangan mereka, dan syaitan memperdayakan mereka dengan mengatakan itulah yang dikatakan persahabatan ataupun ‘semangat 1 batch’.
    Seterusnya iaitu contoh yang kedua, apabila matlamat menuntut ilmu itu ialah mencapai kekayaan material, maka segala perbuatan untuk mencapainya akan dibenarkan. Walaupun pelajar-pelajar ini diberitahu juga bahawa riba itu haram, rasuah itu haram dan sebagainya, mereka tidak akan diajar bagaimana untuk mempraktikkannya tetapi akan dibiarkan individu untuk memilihnya sendiri. Apa yang saya cuba jelaskan di sini ialah pelajar-pelajar tidak didedahkan apakah amalan haram dalam muamalat yang sedang berlaku di luar sana seperti rasuah, judi dan riba. Mereka diajar berdasarkan nama rasuah, judi dan riba tersebut tanpa mengetahui bahawa di luar sana tidak ada perkataan judi, riba dan rasuah digunakan dalam muamalat. Perkataan-perkataan ini diganti supaya kaum Muslimin memandangnya sebagai perkara yang halal. Contohnya riba ditukarkan kepada perkataan ‘faedah ataupun bunga’, manakala rasuah ditukarkan kepada perkataan ‘saguhati’ dan judi pula dijadikan dalam bentuk pertandingan-pertandingan yang seolah-olah tiada unsur perjudian seperti pertandingan menjawab soalan melalui SMS.


    Yang miskin tidak mampu mendapatkan kewajipan mereka.

    Sistem pendidikan yang ada turut ‘memeras’ wang pelajar dan mereka diperdayakan dengan alasan-alasan ‘wang yuran yang dibayar itu adalah untuk pelajar juga’. Hal ini hanyalah alasan bagi sang penguasa untuk mengelak daripada menjalankan tugasnya untuk menyediakan sarana dan kemudahan pendidikan kepada seluruh kaum Muslimin. Maka pelajar-pelajar yang miskin tidak mampu membiayai yuran pengajian mereka maka mereka tidak dapat menjalankan kewajipan menuntut ilmu yang diperintahkan Islam. Maka bilangan buta huruf pun tidak dapat dihapuskan, dan mereka yang miskin ini terpaksa bursusah payah sehingga membahayakan nyawa mereka untuk mendapatkan wang semata-mata untuk menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan pendidikan yang ‘gagal’ ini. Hal ini diburukkan lagi apabila ada segelintir pihak cuba mencari keuntungan dari pelajar dengan menawarkan pinjaman pelajaran yang berasaskan riba. Sudahlah diperdayakan oleh sang penguasa, dilibatkan lagi dengan perkara yang dimurkai Allah SWT yakni riba. Lalu diajar pula dengan pelbagai elemen-elemen ‘kegagalan’ (yang dihuraikan di atas) yang ada dalam sistem pendidikan yang ada. Lihatlah betapa malangnya nasib kaum Muslimin hari ini ditindas dan dilemahkan pemikiran mereka. Mereka dipesongkan daripada memahami Islam yang sebenar. Setelah sistem pendidikan yang ‘gagal’ itu ditempuh mereka, mereka digagalkan lagi dengan sistem hidup yang sedia ada. Maka menjadilah kaum Muslimin ini umat yang lemah, yang hina dan mereka lantas menghadapkan muka mereka ke arah Barat yang dilihat berjaya dalam segala bidang. Lalu benarlah apa yang disabdakan Rasulullah SAW bahawa umat Islam akan mengikuti jejak langkah mereka (orang-orang Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta hatta sehingga mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun, kaum Muslimin tetap akan mengikut mereka.

    Wahai kaum muslimin,

    ini hanyalah sebahagian daripada permasalahan kaum Muslimin hari ini. Jika hal ini saja telah membawa kepada kefasadan yang banyak di kalangan kaum Muslimin, bagaimana pula hal-hal lain yang lebih menjahanamkan lagi kaum Muslimin seperti sistem ekonomi, sistem sosial, sistem sanksi, polisi luar negara dan dalam negara yang nyata sangat jauh daripada pedoman al-Quran dan as-Sunnah. Maka hari ini tinggallah al-Quran itu sekadar sebagai bahan bacaan yang dipertandingkan lagu-lagunya, dibaca kepada mayat yang terbujur kaku dan dijadikan perhiasan-perhiasan di dinding. Manakala sunnah pula hanya tinggal perkara-perkara yang mandub seperti bersugi, makan atas talam beramai-ramai, tidur mengiring ke kanan dan amalan puasa sunat Isnin dan Khamis. Apakah perasaan baginda yang tersayang Rasulullah SAW apabila melihat umatnya sebegini? Masih tidak muncul lagikah kesedaran dalam hati kalian?


    Wahai para pelajar,

    Kami di Jundu Asy-Syabab telah mendedahkan anda kepada berita-berita ini. Dan sekarang kami datang kepada anda wahai mahasiswa-mahasiswi untuk mengetuk pintu hati anda dan menyeru kepada anda bahawa bangkitlah kalian keluar dari kegelapan ini menuju cahaya Allah SWT. Kami ingin memberitahu kalian bahawa Islam itu adalah cara hidup kalian. Islam telah datang kepada kita untuk menjadikan kita umat yang berjaya di dunia dan di akhirat. Islam menyediakan solusi yang canggih kepada umat manusia. Islam itu adalah kejayaan dan kebenaran yang pasti. Islam itu bukan sekadar rukun Islam yang 5, dan juga bukan sekadar amalan bersugi, berkopiah dan memakai jubah. Islam mempunyai sistemnya yang tersendiri dan canggih, yang maju kehadapan lebih daripada apa yang kalian tahu. Islam menjanjikan juga kepada kita bahawa jika Islam diterapkan secara kaffah, maka seluruh dunia berada di bawah tapak kaki kita. Inilah janji Allah SWT kepada kalian. Firman-Nya;

    “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.” [QS 24: 55]

    Jernihkan pemikiran anda, serahkanlah jiwa dan hati anda kepada Allah ‘azza wa jal, dan marilah bangkit bersama-sama kami. Sesungguhnya perjuangan ini memerlukan hati-hati yang ikhlas untuk dimakbulkan kejayaannya oleh Allah SWT. Janganlah kalian berpaling dari ayat-ayat Allah yang disampaikan kepada kalian, kerana Allah SWT memerintahkan kita menyahut setiap khitab (seruan) yang ditujukan kepada kita.

    “Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” [QS 8: 24]

    Dan sekiranya kalian berpaling, maka ingatlah akibat-akibat yang dijanjikan Allah SWT kepada kalian;

    “Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” [QS 20: 124]

    “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). [QS 9: 24]

    JIKA KALIAN TIDAK JUGA BANGKIT SETELAH MEMBACA PENDEDAHAN REALITI INI, MAKA SEMAKIN BENARLAH APA YANG TELAH KAMI HURAIKAN.

    0 Responses

Blog Widget by LinkWithin