Ukuran Kejayaan Manusia

    Setiap manusia mempunyai tolok ukur yang berbeza dalam menentukan kejayaan hidup. Ada yang berpendapat jika mereka mampu meraih wang yang banyak, rumah yang besar, isteri yang cantik dan keputusan yang cemerlang dalam prestasi kerja mahupun peperiksaan adalah kejayaan yang mutlak dalam hidup mereka. Ada juga yang berpendapat jika sesorang berjaya menjadikan minatnya sebagai kerjayanya, maka itulah kejayaan yang mutlak seperti minat seseorang yang mendalam dalam bidang nyanyian dan akhirnya berjaya menjadikan kerjaya artis sebagai profession utama. Namun, adakah perkara-perkara ini yang dijadikan sandaran bagi sesuatu kejayaan? Sebagai seorang Muslim, sewajibnya kita mengembalikan definisi kejayaan itu mengikut apa yang Allah telah gariskan. Firman-Nya:

    “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka bersifat yang demikian ialah orang-orang yang berjaya.[QS 3: 104]

    “..sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya..” [QS 3: 185]

    Ini adalah sebahagian daripada dalil-dalil yang telah Allah wahyukan kepada manusia supaya JELAS apakah standard kejayaan bagi orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah. Namun manusia hari ini lebih cenderung mengukur kejayaan yang mutlak itu berdasarkan harta, pangkat, kekayaan dan segala bentuk material yang lainnya. Hal ini menjadikan mereka cenderung mengejar dunia dan meninggalkan kerja dakwah. Inilah realiti kaum Muslimin sekarang apabila kuffar Barat berjaya menerapkan cara pemikiran kufur mereka. Kaum Muslimin tidak lagi menjadikan Quran dan Sunnah sebagai standard ukur kejayaan mereka. Begitu juga dengan ukuran kebahagiaan hidup, di mana kaum Muslimin meletakkan nilai manfaat dan material sebagai ukuran kebahagiaan, walaupun harta yang dimiliki itu dari sumber yang haram dan terlibat dengan riba seperti kereta, rumah dan pinjaman wang. Lalu ada lagi sebahagian kaum muslimin yang terus jatuh ke lembah yang hina apabila menundukkan hukum-hukum Allah dengan realiti semasa yang akhirnya berkesudahan dengan penerapan hukum-hukum kufur pengganti kepada hukum-hukum Allah. Maka lahirlah generasi-generasi yang kita boleh lihat hari ini di mana kehidupan manusia semakin hari semakin rosak. Apakah hal ini tiada solusinya?

    Wahai Para Pelajar Yang Mulia

    Renungkan kembali apakah tujuan anda datang dan belajar di universiti. Apakah semata-mata untuk meraih kesenangan dunia? Adakah ini ukuran kejayaan anda? Islam tidak menafikan keinginan manusia untuk menjadi kaya dan berharta, akan tetapi bukanlah itu yang dijadikan ukuran kebahagiaan dan kejayaan, kerana kejayaan bagi kaum Muslimin itu hanyalah jika mereka berjaya meraih redha Allah dan mendapat syurga-Nya di akhirat kelak. Apalah ertinya anda mempunyai pelbagai harta, namun anda melibatkan diri dengan riba ataupun perkara haram yang lainnya. Sesungguhnya kemuliaan dan kejayaan umat ini hanya akan kembali jika Islam diterapkan kembali secara kaffah di muka Bumi ini, di mana akan lahirlah kembali tokoh-tokoh Islam seperti imam asy-Syafie, imam Ahmad, ibnu Sina, ibnu Haytham dan ramai lagi ilmuwan-ilmuwan Islam. Dan kejayaan ini hanya akan berhasil jika ANDA, wahai para pelajar yang selaku pelapis umat ini bergerak memperjuangkan kembali Islam secara kaffah dan menegakkan kembali hukum-hukum Allah secara menyeluruh. Kebangkitan Islam itu bermula daripada anda, dan kami menyampaikannya kepada anda! Ingatlah bahawa Islam itu diturunkan untuk menyelesaikan segala masalah manusia dan memberikan kejayaan kepada kita.

    “Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” [QS 8: 24]. Wallahua’lam.


    0 Responses

Blog Widget by LinkWithin