Tiba Masanya Mahasiswa Muslim Bangkit!


    Wahai Mahasiswa Pejuang Syariah sekalian,

    Berbicara tentang perubahan masyarakat maka kita tidak akan melupakan susuk makhluk yang bernama Mahasiswa. Sejarah telah mencatat peranan mahasiswa yang begitu penting dalam melakukan perjuangan menuju kemerdekaan mahupun mengawal kemerdekaan itu sendiri, ini menunjukkan bahawa jiwa membara Mahasiswa dalam berjuang tidak pernah surut. Hal ini harus senantiasa tercatat dalam kamus seorang penghancur kejumudan dan kezaliman yang tidak mengenal lelah dalam berjuang, yang ada hanyalah semangat yang terus menggelora. Sekiranya kita perhatikan sejarah perjalanan kehidupan Bangsa sejak Malaysia mengisytiharkan Kemerdekaan 53 Tahun lalu hingga saat ini secara dasarnya sesungguhnya kita masih berada dalam naungan ketiak negara penjajah. Jadi inilah yang menjadi peranan besar bagi Mahasiswa.

    Salah satu gerakan yang paling ditakuti seantero dunia ini adalah sebuah ‘Force Movement’ (Gerakan Pendesak) iaitu gerakan yang lahir dari kesedaran mahasiswa itu sendiri. Sekiranya kita melihat kembali sejarah revolusi-revolusi di dunia ini, sesungguhnya peranan mahasiswa itu begitu penting sehingga tidak pernah terlepas dalam mengambil bahagian di dalam revolusi-revolusi penting diseluruh dunia.

    Wahai Mahasiswa Pejuang Syariah sekalian,

    Hal ini terbukti di dalam Revolusi di China pada tahun 1911. Sun Yat Sen yang mengetuai gerakan revolusi di China dalam usaha menggulingkan Maharaja China. Pada awalnya, dia hanya menumpukan pergerakan revolusi di kalangan secret society, tetapi lama-kelamaan dia menyedari bahawa revolusi ini tidak mungkin akan berjaya kecuali dengan mendapat sokongan dari mahasiswa. Ternyata, sangkaannya itu benar sehingga membuahkan Revolusi China.

    Begitu juga dengan sejarah kejatuhan rejim kejam Suharto di Indonesia pada tahun 1998. Rakyat Indonesia benar-benar terseksa kebuluran disebabkan kenaikan harga minyak, air, eletrik yang melampau serta krisis ekonomi yang berlaku ketika itu. Maka demonstrasi dilakukan oleh mahasiswa di setiap universiti di seluruh Indonesia menolak kepimpinan Suharto. Ketika itu, mahasiswa menyerbu masuk beramai-ramai ke dalam parlimen dan mendesak agar Suharto meletakkan jawatan. Presiden Suharto ini terus meletakkan jawatannya setelah 32 tahun lamanya memimpin secara diktator!

    Namun, apakah kita mahu bangkit sepertimana revolusi yang dilakukan di China yang menghasilkan rusuhan-rusuhan yang mengorbankan harta dan nyawa? Apakah kita mahu bangkit seperti Revolusi Bolshevik yang dilakukan di Rusia pada tahun 1917? Revolusi Bolshevik telah menitiskan darah-darah yang tidak bersalah dan seterusnya menghasilkan Perang Sivil Rusia selama 5 tahun hingga ke tahun 1922. Dianggarkan sebanyak 13 juta korban hasil daripada peperangan ini dan 1 juta rakyat menjadi pelarian. Apa hasilnya? Hasilnya berdiri sebuah Negara komunis yang akhirnya tumbang dalam tempoh masa kekuasaan yang tidak melebihi 100 tahun. Apakah kita mahu bangkit sepertimana Revolusi Perancis pada tahun 1789? Rakyat Perancis bermandi darah kerana revolusi yang mereka dambakan! Dianggarkan sebanyak 40,000 nyawa melayang untuk membayar harga sebuah revolusi! Apa hasilnya? Hasilnya rakyat yang tidak percayakan Tuhan yang mengatur kehidupan politik, ekonomi, undang-undang, dan hanya mengiktiraf Tuhan dalam rumah ibadat! Itulah Negara Demokrasi yang menerapkan sekularisme iaitu pemisahan antara agama dan kehidupan. Apakah kita mahukan reformasi sepertimana yang berlaku di Indonesia setelah Suharto jatuh? Indonesia kini telah menjadi negara demokrasi paling bebas di dunia hinggakan penyanyi dangdut diangkat menjadi wakil rakyat!

    Sesungguhnya tiadalah revolusi yang kita dambakan melainkan revolusi yang mengikut lunas-lunas syara’. Nabi Muhammadlah manusia pertama yang melakukan “Revolusi Syariah” tanpa menitiskan walau satu titik darah. Apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw sebenarnya? InsyaALLAH akan dijawab di dalam siri jundu syabab akan datang.

    Wahai Mahasiswa Pejuang Syariah sekalian,

    Sesungguhnya Mahasiswa di Malaysia tidak seharusnya takut untuk berbicara soal kezaliman Sultan Pahang yang mengampuni peminum najis arak di dalam kes kartika! Mahasiswa Malaysia tidak seharusnya gentar memuhasabah pemerintah yang dengan senang hatinya menegakkan undang-undang kotor British di tanah umat Islam yang mulia ini! Para mahasiswa seharusnya tidak segan-silu lagi untuk melaungkan penegakan Syariah kerana sejarah telah membuktikan bahawa mahasiswa di Malaysia bukanlah golongan-golongan pengecut, bukanlah orang-orang yang berdiam diri melihat kebiadaban yang dilakukan oleh pemerintah. Hal ini dapat dilihat daripada “Demontrasi Anti Tunku” di UM pada tahun 1969. Kesan daripada demonstrasi ini, Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatannya. Lihat! Begitu besarnya kuasa suara mahasiswa! Ketika PM Thailand melawat Malaysia, 3000 mahasiswa berdemonstrasi menolak kedatangannya ekoran pembunuhan umat Islam Pattani pada tahun 1971. Akibatnya, 15 pelajar dipukul Polis ketika demonstrasi di luar UM dan ramai juga yang ditahan. Pada tahun 1974, 4000 mahasiswa berdemontrasi di depan kedutaan Amerika membantah campur tangan Amerika dalam Perang Arab-Israel. Dan kemuncaknya ialah peristiwa Demontrasi Baling 1974 mengutuk kemiskinan yang terhasil daripada kebijakan pemerintah yang tamak membolot harta rakyat. Demonstrasi ini mengakibatkan 1000 mahasiswa ditahan polis. Sejak daripada tarikh itu, kita sudah tidak mendengar lagi suara mahasiswa kedengaran menyuarakan kalimatul haq!

    Wahai para mahasiswa yang merindukan Syariah, renunglah kata-kata hikmah ini, La ‘izaata illa bil Islam, wa la Islam illa bi Syariah, wa la Syariah illa bi daulatil Khilafah, Tiada kemuliaan tanpa Islam, Tak Sempurna Islam tanpa Syariah, Takkan tegak Syariah tanpa sebuah Negara, yakni Daulah Khilafah Ar-Rasyidah! Allahu Akbar!

    0 Responses

Blog Widget by LinkWithin