Hakikat Mencerdaskan Umat

    Umat Islam hari ini berada pada tahap yang amat kritikal di mana pemikirannya telah menjadi kurang cerdas dan selalu terbelenggu dengan masalah yang sudah ada penyelesaiannya dari al-Quran dan as-sunnah. Walaupun lahirnya pakar-pakar dari pelbagai golongan kaum muslimin, namun Islam masih lagi tidak dapat dizahirkan dengan nyata dan cemerlang. Hal ini kerana kaum muslimin tidak berpeluang menempuh jalan pembelajaran Islam yang telah ditempuh oleh khaira ummah pada satu ketika dahulu.

    Adapun yang dimaksudkan dengan perkara di atas ialah umat Islam pada hari ini tidak dapat menempuh method pembelajaran Islam seperti yang telah dilakukan oleh baginda SAW, yakni pembelajaran Islam yang bersifat praktis, yang mana segala hukum Islam itu diterapkan oleh negara dan diamalkan oleh individu. Oleh kerana itu, ulama’ fiqih mendefinisasikan ilmu usul fiqih itu sebagai ‘ilmu yang membahas masalah-masalah syariat yang bersifat praktis, dan digali daripada dalil-dalil yang terperinci’ (an-nabhani, 2001). Melalui cara pembelajaran yang difahami melalui difinisi para fuqaha’, hal ini akan melahirkan ilmu bagi yang mempelajarinya dan melahirkan masyarakat yang beramal dengan amalan yang Islami. Secara analoginya, jika kita melihat realiti, orang yang hanya pandai teori akan hanya terus pandai berteori jika tidak disertakan dengan amalan yang nyata, malahan pemikirannya akan terus menjadi rigid dengan teori-teori tersebut. Kerana itu dalam skop pekerjaan, majikan sangat memerlukan pekerja yang berpengalaman kerana orang yang telah mempraktiskan ilmunya itu jauh lebih berkemahiran dan kreatif daripada orang yang hanya pandai berteori belaka. Namun apa yang melanda umat Islam pada hari ini ialah lahirnya golongan-golongan yang hanya boleh berteori saja tentang Islam kerana tidak adanya ruang untuk mempraktiskan Islam secara kaffah dalam kehidupan. Maka banyaklah ‘buku-buku bergerak’ yang lahir di dalam umat ini, seterusnya menjadikan Islam itu seolah-olah bersifat khayalan untuk diterapkan dan hanya menjadi teori semata. Hal ini menjadikan umat Islam itu tidak cerdas dengan pegangan Islam yang dimiliki dan keindahan Islam itu telah ditenggelamkan oleh hukum-hukum kufur yang berjalan di sekelilingnya.

    Apabila Islam itu hanya bersifat teoritis dan tidak ada lagi ruang untuk mempraktiskannya secara kaffah, maka bermulalah era pentakwilan Islam itu agar bersesuaian dengan hukum-hukum kufur yang berjalan di sekelilingnya dan telah mendarah-daging dalam diri kaum Muslimin. Kerana itu jugalah Universiti Islam Antarabangsa ini ditubuhkan, kerana ingin melahirkan generasi-generasi yang akan menyesuaikan dan mentakwilkan Islam itu dengan bi’ah yang langsung tidak Islami (Islamisasi) terutamanya di negara ini. Apabila diserukan kepada penerapan Islam yang kaffah, maka akan kebingunganlah umat hari ini kerana Islam itu kini dilihat sangat susah untuk diterapkan secara kaffah melainkan terpaksa dikompromikan dengan hukum-hukum kufur atau mengislamkan saja hukum-hukum kufur yang ada. Hal ini termasuklah dengan mengislamkan bank Islam, insuran Islam (takaful), mengharmonikan undang-undang sivil yang berasal dari si kafir penjajah dengan undang-undang Allah SWT dan juga mengislamkan sistem demokrasi yang berasal dari aqidah mereka yang menolak hukum tuhan dengan pernyataan bahawa demokrasi itu daripada Islam.

    Meraih Kembali Kegemilangan Khaira Ummah

    Wahai para pelajar dan pensyarah sekalian, apakah Islam ini perlu ditokok tambah dan ditampal sulam hanya kerana berleluasanya hukum-hukum kufur disekeliling kita? Apakah dengan keadaan tersebut kita rela melihat pelbagai perkara-perkara yang bertentang dengan Islam itu DIISLAMISASIKAN? Sesungguhnya umat ini hanya akan kembali cerdas jika umat ini dapat menempuh kembali method pembelajaran al-Quran dan as-Sunnah yang bersifat praktis, yang mana hukum-hukumnya berjalan di depan mata, bukan hanya teori yang tersepit di celah-celah otak kaum Muslimin pada hari ini. Dan hal ini tidak mungkin akan terlaksana jika Islam itu tidak mempunyai KUASA dalam bentuk sebuah NEGARA. Ingatlah bahawa Islam itu sangat sempurna dan hebat seperti mana firman Allah SWT;

    “Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” [QS 5: 3]

    Wahai para pelajar dan pensyarah sekalian, masihkah anda duduk diam membatu dan membisu setelah mengetahui hal ini? Kalian wajib bangkit dan berusaha untuk melanjutkan kembali kehidupan Islam di atas muka bumi ini! Wallahua’lam.

    0 Responses

Blog Widget by LinkWithin